Thursday, May 21, 2009

cinta....

Cinta. Tak pernah aku rasa nikmatnya cinta. Tapi seringkali aku terasa bahangnya cinta. Bagai hati ditenggelami lautan kasih terus hanyut dibuai mimpi indah, dihempas badai untuk mencari cinta sebenar. Namun ia hanya sekadar jatuh cinta semata-mata. Terus hanyut hingga lemas dalam lautan kasih itu. Tiada huluran tangan yang mampu ku capai untuk menyelamatkan cinta ku. Hanya sebelah tangan ku yang bertepuk sehingga tertampar diri sendiri, barulah tersedar dari mimpi ngeri itu.

Bila cinta berada depan mata ku. Kenapa secebis perasaan tidak timbul dalam hatiku. Telah dilempar cintanya padaku. Tapi tidak kusambut lalu membiarkan ia tenggelam dalam lautan. Telah jelas pintu hatinya terbuka untuk ku. Tapi aku terus teraba-raba dalam terang. Mencari cinta yang takkan kutemui, sedangkan cinta itu ada disisi. Kerana hatiku tertutup. Benarlah katanya. Cinta itu buta. Sehingga ia tercegat depan mata pun aku tak peduli.

Bila cinta pergi meninggalkan aku. Baru ku rasa kesepian dan keseorangan. Kerinduan mencengkam di setiap benak jiwa ku. Meronta-ronta menagih cinta darinya. Hingga aku tak terdaya untuk berpijak dibumi nyata ini. Namun bagai mustahil bagiku untuk merayu cintanya kembali kerana hatinya telah tertutup buatku. Hingga bayang pintunya tidak lagi kelihatan. Aku terus teraba-raba dalam terang yang kian kelam.

Namun aku gagahkan diri untuk mencari cinta lagi. Dari utara ke selatan aku susuri. Dari timur ke barat aku jelajah. Laut dalam aku selam. Gunung tinggi aku daki. Hingga lubang cacing aku mencari. Namun tak ku temui. Kerana cinta telah pergi meninggalkan aku sendiri, terkontang kanting dalam perahu yang semakin karam. Tiada apa yang akan ku temui dalam kelam. Hanya duduk termanggu harap cinta akan datang.

Bila aku menanti kehadiran cinta. Adakah mampu aku bertahan hingga seribu tahun lagi. Sedangkan seminit ku nanti, bagai menanti siang tika fajar menyinsing. Sedangkan sehari ku nanti, bagai menanti bulan jatuh ke riba. Takkan kesampaian hingga akhir hayat ku. Hingga tiada lagi harapan untuk ku impikan. Hanya terus menanti entah sampai bila.

Hargailah cinta yang hadir pada mu. Tutup mata, lihat hatinya. Tutup telinga, dengar kata hatinya. Tutup mulut, berkatalah pada hatinya. Kerna cinta itu takkan datang jika kau memanggilnya. Cinta itu takkan jumpa jika kau mencarinya. Cinta itu takkan muncul jika kau menantinya. Cinta itu datang dengan sendiri tanpa dipaksa. Jangan kau tanya perasaan mu padanya. Sedangkan perasaan itu akan membuatmu berbelah bahagi. Tanyalah pada hatimu. Kerana perasaan itu datang dari hati. Hati yang mengawal perasaan. Hati suci yang mewujudkan perasaan. Hati suci yang membahagiakan sepanjang hayatmu. Wassalam…

Bila cinta depan mata
Secuit perasaan tak terasa
Ku dongak ke langit, ku tolak ke tepi, terbiar begitu sahaja.

Bila cinta itu pergi
Ia takkan kembali
Rindu mencengkam, jiwa meronta, sepi aku sendiri

Bila cinta ku cari
Pelusuk dunia aku susuri
Hingga lubang cacing aku mencari, namun tak ku temui

Bila cinta ku nanti
Takkan tahan seribu tahun lagi
Bulan jatuh ke riba pun takkan menjadi.

Jangan jadi seperti ku
Hargailah cinta di depanmu
Kerna cinta datang bukan selalu…

Sunday, May 10, 2009

HARAPAN

Setiap saat masa berdetik dalam kehidupan kita dipenuhi dengan harapan. Supaya berbaloi dengan usaha yang telah kita lakukan.

Harapan untuk hidup bahagia.
Harapan untuk berjaya.
Harapan untuk apa sahaja.
Harapan untuk segala-galanya.
Kerana setiap impian itu disinari dengan harapan.
Setiap kata itu dituturi dengan harapan.
Dan setiap pengorbanan itu disulami dengan harapan.

Dan satu yang pasti bagi kita adalah harapan melihat suatu keindahan. Sedangkan keindahan itu tidak akan muncul pada zahirnya semata-mata. Suatu bentuk penghayatan yang mendalam, pemahaman yang telus dan pengorbanan yang ikhlas untuk mendapatkan;

Keindahan yang sebenar dan sempurna.
Keindahan yang datang dari isi rohaninya.
Keindahan terbit dari hati sucinya.
Keindahan yang muncul bersama niat ikhlasnya.

Tapi hati kita selalu memberontak, menjerit-jerit, meronta-ronta mengharapkan keindahan itu muncul depan mata dengan sendirinya. Sehingga kita tidak berupaya memaksa hati ini untuk mencari keindahan sebenar yang tersirat. Kerana satu bait indah telah disetkan dalam minda kita. Dan hati pun tidak mampu untuk mentafsirnya dalam erti kata yang lebih mendalam. ‘Dari mata turun ke hati’. Itulah ia. Kita telah terpesona dengan keindahan;

Yang menjadi santapan mata kita.
Yang telah menutup segala keburukan.
Yang telah mengunci segala keperitan.
Yang telah menimbus segala keburukan.

Namun dari mata jugalah, hati merana kerana keindahan zahir itu;

Tidak mampu menutup segala-galanya.
Tidak mampu mengunci keperitan yang meronta.
Tidak mampu menyembunyikan kebusukan selama-lamanya.
Sedangkan keindahan zahir itu kian hilang ditelan waktu.
Kian pudar dimamah usia.

Yang pasti keindahan sebenar yang lahir dari jiwa tidak akan hilang meski dicampak ke tengah lautan. Tidak akan pudar meski dipanah mentari.

Usahlah kita menyerahkan segala-galanya pada harapan semata-mata. Kerana mungkin pasti suatu ketika nanti ia akan;

Membuat kita kecewa.
Membuat kita merana.
Membuat kita lara.

Selitkanlah keikhlasan pada harapan itu meskipun sebesar zarah. Kerana keikhlasan itu akan ditemukan dengan;

Keindahan yang sebenar.
Keindahan yang akan menyinari hidup kita.
Keindahan yang akan menemani kita selamanya.
Keindahan yang sukar untuk direntap dari benak hati kita.
Wassalam.

INDAHNYA

Telah, dari mata turun ke hati,
Kerna indah kau terpesona,
Telah, dari kata terbang ke langit,
Kerna manis kau tergoda.

Namun, dari mata kau dibayangi,
Menutup mimpi ngeri,
Namun, dari kata kau dihalusinasi,
Mengunci diri sendiri.

Tapi, apa kau lihat dalam lubuk hati,
Yang tak pernah kau selami,
Tapi, apa kau dengar dengan jiwa nurani,
Yang tak pernah kau hargai.

Kerna, dari situ ia lahir,
Menusuk jauh ke dalam hati mu,
Takkan hilang selamanya,
Kerna, dari situ ia menjelma,
Membawa kau terbang lebih tinggi,
Takkan hilang ditiup angin,

Kerna di situlah segalanya…

Thursday, May 7, 2009

RELEVENKAH....

Masuk kandang kambing mengembek.
Masuk kandang harimau mengaum.

Daripada pemahaman yang dapat ditafsirkan, peribahasa ini digunakan oleh orang dahulu sebagai panduan untuk pengembara atau pemastautin yang datang merantau ke tempat orang. Dimana mereka perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dari segi budaya, cuaca dan sebagainya.

Tapi secara ironiknya kenapa kita perlu mengembek bila masuk kandang kambing. Padahal kita bukan seekor kambing. Dah tentu perbuatan tersebut akan mengambarkan kita seekor kambing. Dan mengikut daripada penafsiran kambing jantan yang dominan dalam kandang tersebut, kita adalah kambing dari luar yang datang untuk mencabarnya sebagai ketua kambing. Sudah tentu kambing itu akan berasa tergugat dan tercalar reputasinya apabila ada kambing lain hendak merampas kuasa takluk jajahannya. Walaupun niat kita cuma untuk memahami sosio budaya kambing tersebut, tetapi apa daya seekor kambing untuk memahami psikologi seorang manusia. Maka kambing jantan terpaksa bertindak untuk mempertahankan kegemilangannya. kita yang berpura-pura menjadi kambing ini akan mendapat bahana daripada tindakan kita itu mengikut hukum hakam kambing. Itulah lumrah alam kita tak mampu untuk mengubahnya. Tapi kita diberi akal fikiran untuk memanfaatkan apa yang ada disekeling kita.

Begitu juga maksudnya bagi orang timur yang merantau ke barat. Kenapa perlu kita mengikut budaya barat yang telah terang-terangan bertentangan dengan adab kita sebagai orang timur. Ini disebabkan dari kecil lagi minda kita telah dijamu dengan pepatah ini. Ditambah pula dengan faktor ketidakupayaan akal fikiran kita untuk mentafsir pepatah tersebut mengikut situasi yang sesuai dengan adab dan sopan sebagai orang timur. Tambahan pula syaitan menghembus ayat-ayat nya ke telinga kita yang 100% menurut gelora nafsu unutuk menikmati syurga dunia. “Sekali dituruti bisikan syaitan, kita telah pun menjadi hambanya”. Itulah skrip P Ramlee dlm cerita Dr.Rushdi.

Jadi, Secara realistiknya apabila masuk kandang kambing bawa baldi. Boleh perah susu kambing. Dan kambing jantan yang dominan akan mengerti kita bukan dari spesisnya yang menggugat reputasinya dan kita hanya menjalankan tugas sebagai pemerah susu. Mungkin tidak akan berlaku ketidaksefahaman antara kedua2 belah pihak yang boleh menyebabkan ensiden yang tidak diingini.

Begitu juga tafsirannya bagi petikan masuk kandang harimau mengaum. Kena imagine sendiri la macam mana situasi nya nanti. Oleh yang demikian, pepatah ini dah jadi macam tak releven pada masa kini. Mungkin terpaksa diubah suai untuk menjelaskan lagi penafsirannya.

Masuk kandang kambing bawa baldi….
Masuk kandang harimau bawa cemeti…

Saturday, May 2, 2009

LEGACY

Legacy…

Beberapa minggu yang lalu aku ada menonton Wwe Raw. Kemunculan Randy Orton bersama sekutunya Cody Rhodes dan Ted Biase yang telah membuat satu pakatan antara mereka dengan gelaran legacy. Mereka bertiga telah menjadi waris bapa mereka untuk meneruskan perjuangan dalam business tersebut. Adalah sesuatu yang membanggakan apabila anak-anak mereka mengikut jejak langkah mereka. Walaupun tindakan mereka bertiga adalah sesuatu yang mengjengkelkan dan menyakitkan hati. Tapi itulah realiti sebenar sebuah rancangan hiburan dimana mereka terpaksa mengikut skrip olahan pihak pengurusan untuk menarik minat lebih ramai penonton. Adalah satu kejayaan bagi Wwe apabila kebanyakan penonton seolah olah seperti terpedaya dengan setiap lakonan yang dipertontonkan. Emosi perasaan menyelubungi jiwa penonton pada setiap episod.

Tapi aku kat sini bukan nak cerita pasal Wwe. Tapi pasal perkataan legacy yang digunakan tu. Legacy bermaksud waris. Aku membuka kamus untuk memahami perkataan tersebut. Menurut kamus dewan, waris adalah orang atau pihak yang berhak menerima pusaka orang yang telah meninggal dunia. Jadi aku nak cerita pasal kita sebagai waris orang terdahulu.

Pewarisku telah…

Pada zaman kesultanan melayu melaka, nenek moyang kita bersusah payah mempertahankan adat yang melambangkan keutuhan bangsa melayu. Seni pertahankan diri, silat, diperturunkan agar melayu dapat mempertahankan maruah dan tidak ditindas oleh bangsa asing. Manakala Adab, disemai dari dalam buaian lagi, agar dapat menghormati orang tua kelak. Keindahan bahasa yang diekpresikan melalui puisi yang melambangkan kesopanan tatasusila bangsa melayu itu dalam tiap tutur kata bahasa yang diucapkan. Berpegang kuat pada Agama, supaya mendapat keberkatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Kesungguhan usaha mereka untuk diperturunkan kepada waris mereka supaya takkan melayu hilang di dunia.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Apakah kita dapat meneruskan tanggungjawab yang diperturunkan? Apakah kita dapat mempertahankan jatidiri diri sebagai bangsa melayu? Maruah bukan lagi menjadi sesuatu yang bernilai dalam hidup kita pada hari ini. Hanya wang ringgit yang lebih menjadi keutamaan. Jika ada wang semuanya boleh. Bukan sahaja maruah, malah bangsa itu sendiri boleh dijual beli untuk kepentingan diri sendiri.

Nilai-nilai murni yang disemai dalam jiwa telah diracuni. Adab sopan bukan lagi menjadi tunjang utama sebagai orang melayu. Orang tua tidak dihormati. Dicampak ke sana ke mari tidak dipeduli. Ditengking, diherdik, dicaci, dimaki bagai tiada gunanya hidup di dunia ini. Yang menjadi alasan mereka adalah HAK. Hak mereka untuk bersuara. Hak mereka untuk bertindak. Apakah yang terkandung dalam kepala otak mereka sehingga lupa asal usul dan adab mereka. Inilah ideologi yang telah diterapkan oleh barat untuk menyesatkan umat manusia. Sedangkan hak kita yang sebenarnya telah tertulis di dalam al-Quran.

Pegangan agama semakin diketepikan. Meskipun sesetengah dari kita tahu hukum hakamnya, tapi demi menjaga hati pihak lain, sanggup kita melupakannya. Apakah ini tahap iman seorang yang beragama islam? Kemanakah ajaran dan prinsip yang telah diajar sejak sekolah rendah lagi? Adakah di akhirat nanti ada pula sesiapa hendak menjaga hati kita supaya tidak terseksa dalam api neraka dengan dosa yang telah kita lakukan? Ada pula sesetengah nya yang berkata, kononnya, “kita kene ikut peredaran zaman. Kita akan ketinggalan ke belakang kalau kita terlalu mengikut hukum-hukum macam ni”. Apa kejadahnya semua ini…!!!

Pewarisku telah…

Semasa Negara dilanda peperangan, bangsa melayu khususnya bangkit menentang penjajah. Walaupun pada masa itu, kebanyakannya menganggap perbuatan itu adalah satu kesalahan dan tiada gunanya kerana mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk tapi mereka sanggup berkorban nyawa agar Negara, bangsa melayu khususnya tidak terus dijajah kerana mereka tahu ini semua adalah untuk waris mereka. Mereka bersatu dalam apa jua cara untuk melepaskan diri dari belenggu itu yang ternyata menindas diri sendiri.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Kita telah dijajah semula. Minda kita dijajah. Minda yang tidak dijana dengan menggunakan akal fikiran dan ditapis dengan iman, maka segala perbuatan kita akan mengikut minda kita yang telah dijajah itu. Kalau kita menjeguk di tempat-tempat tumpuan umum, kita akan jumpa macam macam jenis manusia yang telah dijajah mindanya. Berpakaian tak senonoh macam tak cukup kain. Bertindik merata rata macam nak kene tambat. Bangga dengan imej yang dibawa. Bangga dengan kitab-kitab yang menjadi panduan. Apabila ditegur, mereka akan kata “suka hati la, lu apa sibuk, ini hak aku”. Inikah hak yang sebenarnya?

Kalau kita duduk dirumah tonton tv pun akan jumpa juga. Filem dan drama melayu yang memaparkan adegan yang menuju kearah kebinasaan. Bermesra, bermanja, berpelukkan dikhalayak ramai. Malah si pelaku yang menjadi public figure mempertahankan tindakannya itu dengan alasan hak nya sebagai orang yang sedang bercinta. HAK lagi! Jangan pula nanti kita menuntut hak kita di dalam kubur, jika sudah menjadi hak malaikat untuk menyiksa kita dengan dosa yang kita lakukan. Bukan saja adegan malah kadang-kadang dialog atau skrip pun tidak menggambarkan nilai sebenar orang melayu. Kalau dialog yang kasar dan tidak senonoh mungkin kita boleh menilai buruk nya. Tapi apa yang membimbangkan dialog yang mempunyai makna makna yang tersirat, dimana maksudnya ternyata sangat terpesong dengan budaya dan agama kita. Kadang kadang kita tak sedar pun. Dan ianya seakan menjadi satu perkara yang biasa dan telah pun diamalkan.

Jika dulu penjajah menindas bangsa kita. Tapi sekarang bangsa kita sendiri yang menindas bangsa kita. Jika tamak haloba dah menguasai diri, inilah bahananya. Hingga sanggup menipu bangsa sendiri. Mencekik bangsa sendiri. Memijak kepala bangsa sendiri. Yang penting, diri sendiri hidup senang hingga lupa tanggungjawabnya yang sebenar adalah untuk membela bangsa sendiri. Inilah manis mulut berkata. Hanya di depan mereka menabur janji manis. Tapi di belakang mereka tikam bangsa sendiri.

Adakah terlalu lemah bagi kita untuk menentang bentuk penjajahan macam ini? Tidak rasa malukah kita dengan pejuang-pejuang dahulu yang menentang penjajah. Padahal bukan susah bagi kita untuk menangkis semua itu dan menjalankan tanggungjawab sebagai waris bangsa.


Pewarisku telah…

Selepas kemerdekaan, datuk nenek kita meneroka hutan, merempuh belukar, mendaki bukit, meredah sungai, berhempas pulas membanting tulang empat kerat hanya mencari tanah sekangkang kera untuk diwarisi pada anak cucu mereka supaya warisnya nanti tidak menjadi pengemis dibumi sendiri.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Tanah sekakang kera yang menjadi warisan kita habis dijual, digadai pada bangsa asing. Orang luar juga yang untung. Wang jutaan ringgit mengaburi pandangan kita sehingga kita lupa asal usul dan masa depan kita. Apa yang dapat hanya wang ringgit yang boleh habis dalam sekelip mata. Tiada lagi tanah untuk kita huni. Terpaksa menjadi pengemis dibumi sendiri. Hasad dengki menguasai diri. Hingga sanggup menumpahkan darah daging sendiri.

Jika dilihat pada setiap generasi, orang orang terdahulu mempunyai matlamat dan kekuatan untuk dijadikan warisan. Kesukaran dan kepayahan yang mereka tempuhi tidak menjadi halangan bagi mereka untuk meneruskan perjuangan anak bangsa. Mereka tidak mengharapkan balasan atau cagaran, tapi yang penting agar warisnya nanti tidak hanyut ditelan zaman.

Namun apa yang tinggal kini adalah hanya impian dari orang terdahulu untuk melihat kita meneruskan warisan. Ke mana perginya, adab kita sebagai orang timur, adab melayu khususnya semakin hari semakin hilang dari dalam setiap jiwa kita. Kita lebih mengagung agungkan tamadun atau budaya dari luar yang pada hemat kita adalah lebih baik. Tapi yang nyata ianya adalah sesuatu yang amat terpesong dari sempadan nilai nilai murni kita sebagai orang timur. Dan yang paling lebih menyedihkan, kita seolah olah mempertahankan ketamadunan barat itu. Meskipun alasan yang diberi adalah untuk kemajuan tamadun, kecanggihan teknologi, sains dan sebagainya. Tapi kita sudah lupa, agamalah yang membimbing kita untuk kehidupan kita dunia dan akhirat. Yang cukup sempurna untuk dipraktikkan dan kita tak perlu bersusah payah untuk memikirkan cara yang terbaik untuk kehidupan Cuma hanya perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Persoalan kita sekarang, Kemana perginya bait bait indah puisi yang mencerminkan kesopanan tatasusila kita? Kemanakah perginya adab sopan kita? Kemana perginya pusaka temurun kita? Kemana perginya sifat sifat murni kita? Kemana perginya orang timur kita? Jangan hanya untuk mengejar gelaran dunia, habis semua maruah tergadai. Habis semua nilai dicagar. Habis semua tanah di jual. Apa lagi yang tinggal untuk kita perturunkan pada waris kita kelak, Kalau adat bukan lagi ikutan, Kalau adab sopan kita dah singkirkan, Kalau pegangan agama kita dah ketepikan, kalau minda kita dah diracunkan, kalau semangat perjuangan kita dah cantaskan, kalau dah tanah kita gadaikan. Apa yang kita banggakan untuk waris kita? Apa yang kita sematkan dalam jiwa waris kita? Kalau bukan hanya keruntuhan akhlak. Masalah sosial. Mengemis dibumi sendiri. Nanti kita juga yang dipersalahkan kerana gagal memegang amanah orang terdahulu. Gagal mempertahankan identiti sebenar orang melayu. Dan gagal menjalankan kewajipan sebagai pewaris. Tiada tempat lain yang layak untuk kita selain di bumi sendiri. Tiada budaya lain yang serasi dengan jiwa kita selain adat kita sendiri. Dan tiada bahasa yang lebih indah dari bahasa kita sendiri. Jalankan tanggungjawab kita sebagai penyambung warisan supaya kita nanti tidak digelar pelupus warisan…

Waris
Kata bertukar kata
Tangan bertukar tangan
Hati bertukar hati

Datang angin melintang
Tersekat ditengah jalan

Waris
Kau salam ku sahut
Kau hulur ku sambut
Indah budi tangan bertaut

Datang angin melintang
Kau sepak ku terajang

Waris
Belukar ditempuh
Sungai diredah
Bukit ditarah

Datang angin melintang
Terbalik terlentang

Waris
Sukar ku teruskan
Payah ku pertahankan
Sayang ku tinggal kan

Datang angin melintang
Kan ku terus berjuang

Sekian, wassalam.

Friday, April 24, 2009

MEREPEK....???

aku suka dgar kawan aku bercerita...
tak kira la cita ape....
pak pandir...
si luncai dgn labunya...
hikayat sang kancil....
dan aku banyak dgr cerita kawan2 aku....
tapi aku nih bukan nye jenis suka bercerita....
so bila kawan2 aku bercerita so aku dgr je la....
kadang2 tny soalan cam detektif....
lepas aku dgr cite diorang aku pegi siasat keindahan rupanya di sebalik khabarnya....
kadang2....kebanyakannya keindahan khaba lebih terserlah dr ropa nya....
aku pon tak paham....
kenapa manusia suka bercerita melangkaui realiti sehingga mencecah imaginasi....

realitinya selipar jepon....
tapi telah di imaginasikan di minda kita menjadi yellow boot thimberland....
so apa yang telah telah menjadi santapan minda kita adalah sesuatu yang indah....
gelora jiwa mengharapkan sesuatu yang dapat memuaskan nafsu kehendak kita....
tapi setelah menghadapi realiti terbentang depan mata....
baru lah kita tau segalanya...
melangkaui sempadan dan imaginasi mengaburinya....

mungkin ianya adalah fitrah manusia...
mengindahkan sesuatu untuk menyenangkan hati...
atau mungkin untuk melahirkan daya kreatif yang tak kene pada tempatnya....

macam cite si petak kuning...
daya imaginasi si petak kuning n si tapak sulaiman telah melangkaui sempadan realiti....
dalam sebuah kotak yang kosong boleh menjadi satu suasana keadaan dimana ianya kedengaran seperti sebuah realiti....
si sotoang yang kebingungan berasa bengang dgn kecerdasan otak diorang....
"yang penting...IMAGINASI"....kata jujur dr si petak kuning....
gelora hati si sotong memberontak untuk menikmati keindahan imaginasi,...
terpaksa pula menghadapi reakiti sebenar yang memeritkan....
so ape optimis n pesemis nya di sebalik benda alah nih....