Saturday, May 2, 2009

LEGACY

Legacy…

Beberapa minggu yang lalu aku ada menonton Wwe Raw. Kemunculan Randy Orton bersama sekutunya Cody Rhodes dan Ted Biase yang telah membuat satu pakatan antara mereka dengan gelaran legacy. Mereka bertiga telah menjadi waris bapa mereka untuk meneruskan perjuangan dalam business tersebut. Adalah sesuatu yang membanggakan apabila anak-anak mereka mengikut jejak langkah mereka. Walaupun tindakan mereka bertiga adalah sesuatu yang mengjengkelkan dan menyakitkan hati. Tapi itulah realiti sebenar sebuah rancangan hiburan dimana mereka terpaksa mengikut skrip olahan pihak pengurusan untuk menarik minat lebih ramai penonton. Adalah satu kejayaan bagi Wwe apabila kebanyakan penonton seolah olah seperti terpedaya dengan setiap lakonan yang dipertontonkan. Emosi perasaan menyelubungi jiwa penonton pada setiap episod.

Tapi aku kat sini bukan nak cerita pasal Wwe. Tapi pasal perkataan legacy yang digunakan tu. Legacy bermaksud waris. Aku membuka kamus untuk memahami perkataan tersebut. Menurut kamus dewan, waris adalah orang atau pihak yang berhak menerima pusaka orang yang telah meninggal dunia. Jadi aku nak cerita pasal kita sebagai waris orang terdahulu.

Pewarisku telah…

Pada zaman kesultanan melayu melaka, nenek moyang kita bersusah payah mempertahankan adat yang melambangkan keutuhan bangsa melayu. Seni pertahankan diri, silat, diperturunkan agar melayu dapat mempertahankan maruah dan tidak ditindas oleh bangsa asing. Manakala Adab, disemai dari dalam buaian lagi, agar dapat menghormati orang tua kelak. Keindahan bahasa yang diekpresikan melalui puisi yang melambangkan kesopanan tatasusila bangsa melayu itu dalam tiap tutur kata bahasa yang diucapkan. Berpegang kuat pada Agama, supaya mendapat keberkatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Kesungguhan usaha mereka untuk diperturunkan kepada waris mereka supaya takkan melayu hilang di dunia.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Apakah kita dapat meneruskan tanggungjawab yang diperturunkan? Apakah kita dapat mempertahankan jatidiri diri sebagai bangsa melayu? Maruah bukan lagi menjadi sesuatu yang bernilai dalam hidup kita pada hari ini. Hanya wang ringgit yang lebih menjadi keutamaan. Jika ada wang semuanya boleh. Bukan sahaja maruah, malah bangsa itu sendiri boleh dijual beli untuk kepentingan diri sendiri.

Nilai-nilai murni yang disemai dalam jiwa telah diracuni. Adab sopan bukan lagi menjadi tunjang utama sebagai orang melayu. Orang tua tidak dihormati. Dicampak ke sana ke mari tidak dipeduli. Ditengking, diherdik, dicaci, dimaki bagai tiada gunanya hidup di dunia ini. Yang menjadi alasan mereka adalah HAK. Hak mereka untuk bersuara. Hak mereka untuk bertindak. Apakah yang terkandung dalam kepala otak mereka sehingga lupa asal usul dan adab mereka. Inilah ideologi yang telah diterapkan oleh barat untuk menyesatkan umat manusia. Sedangkan hak kita yang sebenarnya telah tertulis di dalam al-Quran.

Pegangan agama semakin diketepikan. Meskipun sesetengah dari kita tahu hukum hakamnya, tapi demi menjaga hati pihak lain, sanggup kita melupakannya. Apakah ini tahap iman seorang yang beragama islam? Kemanakah ajaran dan prinsip yang telah diajar sejak sekolah rendah lagi? Adakah di akhirat nanti ada pula sesiapa hendak menjaga hati kita supaya tidak terseksa dalam api neraka dengan dosa yang telah kita lakukan? Ada pula sesetengah nya yang berkata, kononnya, “kita kene ikut peredaran zaman. Kita akan ketinggalan ke belakang kalau kita terlalu mengikut hukum-hukum macam ni”. Apa kejadahnya semua ini…!!!

Pewarisku telah…

Semasa Negara dilanda peperangan, bangsa melayu khususnya bangkit menentang penjajah. Walaupun pada masa itu, kebanyakannya menganggap perbuatan itu adalah satu kesalahan dan tiada gunanya kerana mungkin keadaan akan menjadi lebih buruk tapi mereka sanggup berkorban nyawa agar Negara, bangsa melayu khususnya tidak terus dijajah kerana mereka tahu ini semua adalah untuk waris mereka. Mereka bersatu dalam apa jua cara untuk melepaskan diri dari belenggu itu yang ternyata menindas diri sendiri.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Kita telah dijajah semula. Minda kita dijajah. Minda yang tidak dijana dengan menggunakan akal fikiran dan ditapis dengan iman, maka segala perbuatan kita akan mengikut minda kita yang telah dijajah itu. Kalau kita menjeguk di tempat-tempat tumpuan umum, kita akan jumpa macam macam jenis manusia yang telah dijajah mindanya. Berpakaian tak senonoh macam tak cukup kain. Bertindik merata rata macam nak kene tambat. Bangga dengan imej yang dibawa. Bangga dengan kitab-kitab yang menjadi panduan. Apabila ditegur, mereka akan kata “suka hati la, lu apa sibuk, ini hak aku”. Inikah hak yang sebenarnya?

Kalau kita duduk dirumah tonton tv pun akan jumpa juga. Filem dan drama melayu yang memaparkan adegan yang menuju kearah kebinasaan. Bermesra, bermanja, berpelukkan dikhalayak ramai. Malah si pelaku yang menjadi public figure mempertahankan tindakannya itu dengan alasan hak nya sebagai orang yang sedang bercinta. HAK lagi! Jangan pula nanti kita menuntut hak kita di dalam kubur, jika sudah menjadi hak malaikat untuk menyiksa kita dengan dosa yang kita lakukan. Bukan saja adegan malah kadang-kadang dialog atau skrip pun tidak menggambarkan nilai sebenar orang melayu. Kalau dialog yang kasar dan tidak senonoh mungkin kita boleh menilai buruk nya. Tapi apa yang membimbangkan dialog yang mempunyai makna makna yang tersirat, dimana maksudnya ternyata sangat terpesong dengan budaya dan agama kita. Kadang kadang kita tak sedar pun. Dan ianya seakan menjadi satu perkara yang biasa dan telah pun diamalkan.

Jika dulu penjajah menindas bangsa kita. Tapi sekarang bangsa kita sendiri yang menindas bangsa kita. Jika tamak haloba dah menguasai diri, inilah bahananya. Hingga sanggup menipu bangsa sendiri. Mencekik bangsa sendiri. Memijak kepala bangsa sendiri. Yang penting, diri sendiri hidup senang hingga lupa tanggungjawabnya yang sebenar adalah untuk membela bangsa sendiri. Inilah manis mulut berkata. Hanya di depan mereka menabur janji manis. Tapi di belakang mereka tikam bangsa sendiri.

Adakah terlalu lemah bagi kita untuk menentang bentuk penjajahan macam ini? Tidak rasa malukah kita dengan pejuang-pejuang dahulu yang menentang penjajah. Padahal bukan susah bagi kita untuk menangkis semua itu dan menjalankan tanggungjawab sebagai waris bangsa.


Pewarisku telah…

Selepas kemerdekaan, datuk nenek kita meneroka hutan, merempuh belukar, mendaki bukit, meredah sungai, berhempas pulas membanting tulang empat kerat hanya mencari tanah sekangkang kera untuk diwarisi pada anak cucu mereka supaya warisnya nanti tidak menjadi pengemis dibumi sendiri.

Tapi apa dah jadi pada masa sekarang?

Tanah sekakang kera yang menjadi warisan kita habis dijual, digadai pada bangsa asing. Orang luar juga yang untung. Wang jutaan ringgit mengaburi pandangan kita sehingga kita lupa asal usul dan masa depan kita. Apa yang dapat hanya wang ringgit yang boleh habis dalam sekelip mata. Tiada lagi tanah untuk kita huni. Terpaksa menjadi pengemis dibumi sendiri. Hasad dengki menguasai diri. Hingga sanggup menumpahkan darah daging sendiri.

Jika dilihat pada setiap generasi, orang orang terdahulu mempunyai matlamat dan kekuatan untuk dijadikan warisan. Kesukaran dan kepayahan yang mereka tempuhi tidak menjadi halangan bagi mereka untuk meneruskan perjuangan anak bangsa. Mereka tidak mengharapkan balasan atau cagaran, tapi yang penting agar warisnya nanti tidak hanyut ditelan zaman.

Namun apa yang tinggal kini adalah hanya impian dari orang terdahulu untuk melihat kita meneruskan warisan. Ke mana perginya, adab kita sebagai orang timur, adab melayu khususnya semakin hari semakin hilang dari dalam setiap jiwa kita. Kita lebih mengagung agungkan tamadun atau budaya dari luar yang pada hemat kita adalah lebih baik. Tapi yang nyata ianya adalah sesuatu yang amat terpesong dari sempadan nilai nilai murni kita sebagai orang timur. Dan yang paling lebih menyedihkan, kita seolah olah mempertahankan ketamadunan barat itu. Meskipun alasan yang diberi adalah untuk kemajuan tamadun, kecanggihan teknologi, sains dan sebagainya. Tapi kita sudah lupa, agamalah yang membimbing kita untuk kehidupan kita dunia dan akhirat. Yang cukup sempurna untuk dipraktikkan dan kita tak perlu bersusah payah untuk memikirkan cara yang terbaik untuk kehidupan Cuma hanya perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Persoalan kita sekarang, Kemana perginya bait bait indah puisi yang mencerminkan kesopanan tatasusila kita? Kemanakah perginya adab sopan kita? Kemana perginya pusaka temurun kita? Kemana perginya sifat sifat murni kita? Kemana perginya orang timur kita? Jangan hanya untuk mengejar gelaran dunia, habis semua maruah tergadai. Habis semua nilai dicagar. Habis semua tanah di jual. Apa lagi yang tinggal untuk kita perturunkan pada waris kita kelak, Kalau adat bukan lagi ikutan, Kalau adab sopan kita dah singkirkan, Kalau pegangan agama kita dah ketepikan, kalau minda kita dah diracunkan, kalau semangat perjuangan kita dah cantaskan, kalau dah tanah kita gadaikan. Apa yang kita banggakan untuk waris kita? Apa yang kita sematkan dalam jiwa waris kita? Kalau bukan hanya keruntuhan akhlak. Masalah sosial. Mengemis dibumi sendiri. Nanti kita juga yang dipersalahkan kerana gagal memegang amanah orang terdahulu. Gagal mempertahankan identiti sebenar orang melayu. Dan gagal menjalankan kewajipan sebagai pewaris. Tiada tempat lain yang layak untuk kita selain di bumi sendiri. Tiada budaya lain yang serasi dengan jiwa kita selain adat kita sendiri. Dan tiada bahasa yang lebih indah dari bahasa kita sendiri. Jalankan tanggungjawab kita sebagai penyambung warisan supaya kita nanti tidak digelar pelupus warisan…

Waris
Kata bertukar kata
Tangan bertukar tangan
Hati bertukar hati

Datang angin melintang
Tersekat ditengah jalan

Waris
Kau salam ku sahut
Kau hulur ku sambut
Indah budi tangan bertaut

Datang angin melintang
Kau sepak ku terajang

Waris
Belukar ditempuh
Sungai diredah
Bukit ditarah

Datang angin melintang
Terbalik terlentang

Waris
Sukar ku teruskan
Payah ku pertahankan
Sayang ku tinggal kan

Datang angin melintang
Kan ku terus berjuang

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment